Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) telah memperoleh kemudahan pembiayaan 'Bai Al-Inah' berjumlah RM500 juta daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengembangkan operasinya tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zaini Othman berkata, pembiayaan itu sangat penting kepada pertumbuhan MBSB khasnya untuk menyokong peningkatan pemintaan dalam pembiayaan peribadi-i.
Zaini berkata, pembiayaan peribadi-i menjadi teras utama perniagaan MBSB dengan sumbangan sebanyak 60 peratus tahun lalu.
''Untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini MBSB telah merekodkan hampir RM2 bilion pembiayaan peribadi-i.
"Oleh itu, kami menyasarkan untuk meningkatkan pembiayaan tersebut kepada RM5 bilion sebelum akhir tahun ini,'' katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Bai Al-Inah antara MBSB dengan KWSP di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol.
Ahmad Zaini berkata, MBSB turut menyasarkan peningkatan dua kali ganda dalam jumlah pemberian pembiayaan kepada pelanggannya bagi keseluruhan tahun ini sebanyak RM10 bilion.
''Sasaran itu merupakan satu cabaran kepada MBSB untuk mengembangkan dan memperkukuhkan sektor utamanya tahun ini.
''Tumpuan utama kami adalah pembiayaan peribadi-i yang dilihat berpotensi sangat besar untuk berkembang selain beberapa produk lain seperti pembiayaan perumahan, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan lain-lain,'' jelasnya.
Beliau berkata, pada tahun ini, MBSB juga merancang untuk memperkenalkan produk baharu iaitu pembiayaan industri dan pelancaran kad kredit pada separuh kedua tahun ini melibatkan kerjasama dengan MBF Holdings.
Sementara itu, mengulas mengenai kesan bencana gempa bumi yang melanda Jepun terhadap pelaburan KWSP, Azlan Zainol berkata kesannya terlalu sedikit kerana risikonya adalah hanya 0.005 peratus.
''Keadaan yang berlaku di Jepun dan krisis politik di rantau Asia Barat, mungkin mewujudkan peluang terbaik untuk melakukan pelaburan di peringkat antarabangsa dan kami mungkin akan berbuat demikian.
''KWSP mempunyai dana yang sangat stabil sebanyak RM440 bilion, jadi kami tidak mempunyai masalah sekiranya ingin membuat sebarang pelaburan,'' kata beliau.
Beliau juga menjangkakan jumlah dividen yang akan diberikan kepada pencarum KWSP pada tahun ini akan sekitar 4.5 peratus sehingga 5.5 peratus.
"Secara puratanya dalam lingkungan lima peratus dan jika keadaan ekonomi baik mungkin dapat seperti tahun lalu sebanyak 5.8 peratus,'' tambah Azlan.
No comments:
Post a Comment