Monday, June 06, 2011

MBSA keluarkan permit menjaja bulan Ramadan

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenal pasti 28 kawasan sekitar bandar ini sebagai tapak perniagaan sepanjang bulan Ramadan.
Kawasan terbabit ialah Seksyen 2, 6, 7, 8, 13, 16, 17, 18, 19, 20, 24, 25, 27, 28, 31, Seksyen U2, U3, U5, U8, U10, U13, Subang 2, dan Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 1, 2 dan 3.

Pegawai Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata setiap penjaja dikenakan bayaran permit menjual makanan dan minuman RM120, manakala permit menjual air kelapa, tebu, otak-otak, sate, ikan bakar, ayam percik dan kepak ayam RM150.
Permit menjual ayam golek pula sebanyak RM250, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

klik di sini

Shahrin berkata pihak MBSA mengenakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap penjaja yang hendak berniaga sepanjang bulan puasa, antaranya mesti warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas dan melampirkan salinan dokumen peribadi seperti kad pengenalan, bil air, elektrik dan cukai pintu.

Katanya para penjaja juga diwajibkan memakai apron, tudung kepala dan kasut ketika menjalankan perniagaan selain mendapat suntikan anti-typhoid (TY2).

Borang permohonan boleh didapati di kaunter Jabatan Korporat, MBSA, Tingkat G (Lif A), Wisma MBSA mulai hari ini hingga 17 Jun atau menghubungi talian 03-5510 5133 sambungan 550, 317, 549 dan 486.


sumber berita mymetro

Sepertiga guna Internet cari kerja

Hampir satu pertiga pencari pekerjaan di Malaysia menggunakan perkhidmatan dalam talian, tetapi ramai juga bimbang mengenai maklumat peribadi mereka akan disalah gunakan, menurut kaji selidik Kelly Services.
Kaji selidik yang dijalankan dari Oktober 2010 hingga Januari 2011 menunjukkan sebanyak 32 peratus responden mendapat pekerjaan terbaharu mereka melalui dalam talian, firma pengambilan pekerjaan/ kakitangan (20 peratus), secara langsung oleh majikan (17 peratus), rujukan mulut ke mulut (16 peratus), iklan cetak (lapan peratus), kaedah lain (lima peratus) dan laman media sosial (tiga peratus).
Manakala sebanyak 38 peratus responden melayari laman media sosial seperti Facebook, Linkedln dan Twitter untuk mencari peluang pekerjaan atau kenaikan pangkat.
Pengarah Urusan Kelly Services Singapura dan Malaysia, Melissa Norman berkata, penggunaan media sosial untuk mencari pekerjaan menjadi trend terbaharu.
''Ia digemari kerana membolehkan orang ramai memberi tumpuan kepada pekerjaan dan organisasi yang diinginkan.

 

''Calon dan majikan menjadi semakin selesa menggunakan medium ini yang bakal digunakan secara lebih meluas untuk mencari pekerjaan dan memajukan kerjaya,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Kaji selidik itu mendapati Facebook merupakan laman media sosial paling popular bagi mereka berusia 18 hingga 29 tahun dan 30 hingga 47 tahun untuk mencari pekerjaan, mereka yang berusia 48 hingga 65 tahun bertindak menjauhi laman media tersebut.
Sebanyak 40 peratus daripada responden berkata, mereka khuatir bahan daripada laman rangkaian sosial memberi kesan buruk kepada kerjaya mereka.
Mereka yang aktif dalam mencari pekerjaan dalam talian adalah di Johor (43 peratus), Pulau Pinang (42 peratus), Wilayah Persekutuan (39 peratus) dan Selangor (36 peratus).
Sementara itu, 63 peratus responden menghabiskan masa sejam atau kurang sehari melayari laman media sosial, tujuh peratus tidak berbuat demikian dan 30 peratus menghabiskan sejam atau lebih setiap hari untuk laman media sosial.
Tambah Melissa, dengan adanya telefon bimbit dan hubungan teknologi yang lain, kaedah tradisional untuk mencari pekerjaan semakin dilupakan
''Setakat bulan Februari, kita mempunyai 350,000 individu menganggur dan syarikat sekarang mencari cara yang inovatif untuk mencari dan menarik bakat yang berpotensi.
''Rangkaian sosial telah membolehkan syarikat perniagaan membina jambatan untuk merapatkan jurang dengan calon berpotensi. Rakyat Malaysia berusia antara 15 hingga 34 tahun membentuk hampir separuh tenaga pekerja pada masa ini,'' jelasnya.
Hasil kaji selidik itu adalah sebahagian daripada Kelly Global Workforce Index yang mengumpul pendapat 97,000 orang di 30 negara termasuk Malaysia.

Saturday, June 04, 2011

KERJA TERBURUK VS KERJA TERBAIK 2011

Di sini saya ingin kongsikan dengan anda semua tentang satu aktikel tentang pekerjaan yang telah dilabel terburuk pada tahun 2011 menurut kajian website CareerCast.
Jika anda fikir anda mempunyai pekerjaan terburuk di dunia, dan anda adalah seorang pekerja rig minyak, anda mungkin benar, sekurang-kurangnya mengikut kajian yang diterbitkan satu minggu ini. Kadar bayaran rendah, tahap stress tinggi, tol fizikal dan faktor-faktor lain untuk 200 kerjaya yang dinilai, website CareerCast persepakat bahawa pekerjaan “roustabouts” mendapatkan penilaian yang terendah.

klik di sini

Mempertahankan rig minyak dan paip secara fizikal amatlah sukar dan menawarkan gaji yang tidak setimpal.
CareerCast menggambarkan persekitaran kerja yang agak teruk, berkerja selama 12 jam, kawasan pekerjaan yang tidak mesra, upah rendah, risiko tinggi cedera dan terpisah daripada kerluarga selama berminggu-minggu pada satu-satu masa, ini menjadikan ia dilabelkan sebagai “pekerjaan terburuk tahun 2011″. Setakat ini semula perkerja “roustabouts” hanya menerima 32,000 dolar setahun.
Sebaliknya, jika anda seorang jurutera perisian (Software Engineer), Tahniah!, anda mempunyai pekerjaan terbaik di dunia buat masa ini. Kurang tekanan, tuntutan fizikal sedikit dan peluang mudah mendapat pekerjaan membuatkan kerjaya ini mendapat kedudukan teratas, menurut kajiselidik tersebut.
Menurut Nancy Mead dari Carnegie Mellon University Software Engineering Institute.”Ini adalah kerjaya yang sangat baik, Ada permintaan yang sangat tinggi.”
“Software dalam hampir setiap peranti yang digunakan dalam kehidupan kita setiap hari seperti telefon, kereta, peralatan. Dan ianya berkembang setiap tahun” Disebabkan trend itulah, Jurutera Perisian mampu mendapat pendapatan rata-rata sebanyak 87,000 dolar setahun. ($7,250 sebulan)
Menurut CareerCast lagi, antara kerjaya yang baik ialah pakar matematik,penganalis dan penganalisa sistem komputer.
Mungkin ini peluang baik untuk graduan IT di negara kita ini. Semoga Berjaya.

PETRONAS bangunkan 3 blok gas di Kanada

PETRONAS menerusi anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS International Corporation Ltd (PICL) menjalinkan kerjasama dengan syarikat minyak dan gas Kanada, Progress Energy Resources Corporation, bagi membangunkan tiga blok gas di timur laut British Columbia itu.

Menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak itu semalam, PETRONAS berkata, PICL akan menguasai 50 peratus kepentingan kerja dalam tiga blok gas yang dikenali sebagai Altares, Lily dan Kahta itu, dengan pelaburan membabitkan nilai sekitar RM3.32 bilion.

sila klik disini
“Aset yang bakal dibangunkan kedua-dua pihak ialah sebidang tanah berkeluasan 60,000 hektar yang dijangka memiliki anggaran sumber gas berjumlah lebih daripada 15 trilion kaki padu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam. PETRONAS berkata, kerjasama itu menandakan bermulanya penerokaan syarikat minyak dan gas nasional itu di Kanada.

Menerusinya, PETRONAS berkata, selain mempercepatkan pertumbuhan aktiviti huluan kumpulan itu, ia juga akan meningkatkan lagi jumlah nilai eksport gas asli cecair (LNG) dalam negara itu.

“PETRONAS melihat langkah itu sebagai peluang yang paling menarik kerana ia membuka ruang bagi kumpulan meneroka industri blok gas di Amerika Utara, dan pada masa turut memperkukuhkan lagi kedudukan PETRONAS sebagai peneraju global dalam perniagaan LNG,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, PETRONAS berkata, ia dan Progress bersetuju menubuhkan sebuah entiti usaha sama eksport LNG untuk melaksanakan kajian daya maju ekonomi bagi mewujudkan kemudahan eksport LNG bersepadu di barat Kanada.
Katanya, kajian itu akan menyediakan kumpulan berkenaan pilihan alternatif strategik lain selain daripada saluran paip gas tradisional sedia ada di kawasan utara Amerika.

PETRONAS berkata, dengan MoU itu, kedua-dua pihak juga turut bersetuju bekerjasama dalam bidang lain yang bakal wujud di kawasan barat Kanada.

Friday, June 03, 2011

Diesel subsidi lori komersial mansuh




ISMAIL SABRI (kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima Anugerah Perkhimatan Cemerlang 
Jabatan Perbadanan Harta Intelek di Kuala Lumpur semalam.





Kerajaan telah memansuhkan diesel super subsidi yang dinikmati pemilik lori komersial berkuat kuasa kelmarin kerana beranggapan hanya kenderaan individu dan kenderaan berkepentingan orang ramai yang wajar menikmati kemudahan tersebut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bermakna lori komersial perlu membayar RM1.80 seliter diesel berbanding RM1.48 semasa menikmati diesel super subsidi.
"Pemberian super subsidi dikekalkan kepada kenderaan yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti bas sekolah, teksi, individu yang membeli enjin bot sangkut dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbadanan Harta Intelek Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, keputusan itu tidak bermakna kerajaan menarik balik subsidi diesel kerana pengusaha lori komersial masih menikmati bahan bakar itu pada harga subsidi RM1.80 seliter.Katanya, harga diesel RM1.80 seliter yang dijual di pam masih disubsidikan oleh kerajaan sebanyak RM1.00 seliter kerana jika tiada subsidi, harga sebenar diesel adalah RM2.80 seliter.