Hampir satu pertiga pencari pekerjaan di Malaysia menggunakan perkhidmatan dalam talian, tetapi ramai juga bimbang mengenai maklumat peribadi mereka akan disalah gunakan, menurut kaji selidik Kelly Services.
Kaji selidik yang dijalankan dari Oktober 2010 hingga Januari 2011 menunjukkan sebanyak 32 peratus responden mendapat pekerjaan terbaharu mereka melalui dalam talian, firma pengambilan pekerjaan/ kakitangan (20 peratus), secara langsung oleh majikan (17 peratus), rujukan mulut ke mulut (16 peratus), iklan cetak (lapan peratus), kaedah lain (lima peratus) dan laman media sosial (tiga peratus).
Manakala sebanyak 38 peratus responden melayari laman media sosial seperti Facebook, Linkedln dan Twitter untuk mencari peluang pekerjaan atau kenaikan pangkat.
Pengarah Urusan Kelly Services Singapura dan Malaysia, Melissa Norman berkata, penggunaan media sosial untuk mencari pekerjaan menjadi trend terbaharu.
''Ia digemari kerana membolehkan orang ramai memberi tumpuan kepada pekerjaan dan organisasi yang diinginkan.
''Calon dan majikan menjadi semakin selesa menggunakan medium ini yang bakal digunakan secara lebih meluas untuk mencari pekerjaan dan memajukan kerjaya,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Kaji selidik itu mendapati Facebook merupakan laman media sosial paling popular bagi mereka berusia 18 hingga 29 tahun dan 30 hingga 47 tahun untuk mencari pekerjaan, mereka yang berusia 48 hingga 65 tahun bertindak menjauhi laman media tersebut.
Sebanyak 40 peratus daripada responden berkata, mereka khuatir bahan daripada laman rangkaian sosial memberi kesan buruk kepada kerjaya mereka.
Mereka yang aktif dalam mencari pekerjaan dalam talian adalah di Johor (43 peratus), Pulau Pinang (42 peratus), Wilayah Persekutuan (39 peratus) dan Selangor (36 peratus).
Sementara itu, 63 peratus responden menghabiskan masa sejam atau kurang sehari melayari laman media sosial, tujuh peratus tidak berbuat demikian dan 30 peratus menghabiskan sejam atau lebih setiap hari untuk laman media sosial.
Tambah Melissa, dengan adanya telefon bimbit dan hubungan teknologi yang lain, kaedah tradisional untuk mencari pekerjaan semakin dilupakan
''Setakat bulan Februari, kita mempunyai 350,000 individu menganggur dan syarikat sekarang mencari cara yang inovatif untuk mencari dan menarik bakat yang berpotensi.
''Rangkaian sosial telah membolehkan syarikat perniagaan membina jambatan untuk merapatkan jurang dengan calon berpotensi. Rakyat Malaysia berusia antara 15 hingga 34 tahun membentuk hampir separuh tenaga pekerja pada masa ini,'' jelasnya.
Hasil kaji selidik itu adalah sebahagian daripada Kelly Global Workforce Index yang mengumpul pendapat 97,000 orang di 30 negara termasuk Malaysia.
No comments:
Post a Comment