Thursday, March 24, 2011

Import alat ganti terpakai diharamkan

     Kerajaan akan mengharamkan pengimportan barangan alat ganti dan komponen kereta terpakai secara berperingkat-peringkat mulai 1 Jun depan bagi melindungi industri tempatan dan memelihara keselamatan pemandu
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Rebecca Fatima Sta Maria berkata, bagi fasa pertama, empat alat ganti dan komponen import yang dikategorikan paling kritikal menjejaskan industri akan diharamkan.
Katanya, keempat-empat komponen itu adalah pencengkam brek, penggalas brek, tayar dan bateri.
Menurut beliau, pengharaman itu dilaksanakan setelah mengambil kira pandangan industri dan para pengusaha bengkel tempatan.
''Pengharaman ini bagi memastikan kualiti barangan alat ganti dan komponen berada dalam piawaian yang ditetapkan.
''Fasa kedua pengharaman alat ganti dan komponen terpakai itu dalam proses perbincangan dan akan dimaklumkan kemudian,'' kata beliau selepas menghadiri mesyuarat bersama pemain industri automotif di sini, hari ini. Turut hadir pada majlis ialah Presiden Gabungan Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan dan Kenderaan Malaysia (FEMPTAM), Lim Wei Fook.
Kerajaan pada 28 Oktober 2009 lalu memutuskan pengharaman pengimportan alat ganti dan komponen terpakai secara berperingkat-peringkat melalui penilaian semula Dasar Automotif Kebangsaan (NAP).
Keputusan itu bertujuan memastikan keselamatan jalan raya terjamin selain melindungi pengeluar alat ganti dan komponen terpakai.
Perangkaan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) pada tahun lalu mendapati sebanyak 15 juta kenderaan berada di jalan raya di negara ini melebihi usia 10 tahun.
Ketika ditanya kemungkinan pengharaman itu akan menjejaskan industri pengeluar alat ganti kereta tempatan, Rebecca menjawab, perkara itu tidak berlaku tetapi sebaliknya akan meningkatkan pengeluaran tempatan.
Beliau menambah, jangka hayat minimum alat ganti tempatan antara lima hingga 10 tahun.
Sementara itu, Wei Fook ketika memberikan pandangannya berkata, lebih 5,000 pengendali bengkel di negara ini dijangka terjejas sedikit dalam perniagaan masing-masing berikutan pengharaman itu.
Katanya, pendapatan tahunan kesemua pengendali itu kira-kira RM12 bilion setahun dan ia merupakan penjana pertumbuhan ekonomi yang sangat besar kepada negara.
''Ia akan memberi impak besar kepada ekonomi negara berikutan pengguna pada waktu ini banyak bergantung kepada alat ganti dan komponen terpakai import yang ternyata 10 kali ganda lebih murah berbanding yang baru,'' ujarnya.

sumber...utusan malaysia



IKLAN

 



No comments:

Post a Comment