Saturday, March 26, 2011

Rahsia kejayaan usahawan tempe


Seorang petugas tekun menyusun tempe yang telah siap diproses.


Perniagaan kecil-kecilan berasaskan makanan yang diwarisi daripada ibunya nyata tidak sia-sia, sebaliknya menjadi perintis jalan kepada usahawan ini mengenali dunia perniagaan lebih luas.
Syaratnya dia menerima perniagaan tersebut dengan hati terbuka selain diusahakan bersungguh-sungguh.
Begitu jalan cerita mudah bagaimana Nordin Arshad, 50, ‘bertemu jodoh’ dengan perniagaan yang diceburinya ketika ini.
Segalanya bermula ketika dia menghadiri taklimat Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang disertai semasa masih berkhidmat dalam tentera.
Ketika itulah dia mendapat tahu mengenai Agro Bank yang ketika itu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia (BPM).
Sementelah bersara daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2000, Nordin mengambil alih perniagaan ibunya mengusahakan tempe.
Dia berbuat demikian kerana ketika itu ibunya menghidap strok.
Sepuluh tahun lalu, Nordin dan isterinya Normah Mohamad, 48, hanya mengusahakan tempe di dapur rumah emaknya di Kampung Sri Merlong, Rengit, Batu Pahat, Johor.
“Segalanya hanya bermula dengan modal RM400 untuk membeli kacang soya, ragi dan kertas pembungkus,” katanya.
Pada mulanya bapa kepada empat orang anak ini, hanya mempelajari cara membuat tempe daripada ibunya.
Tetapi selepas itu beliau mendapatkan khidmat nasihat daripada cawangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhampiran.
Pada masa sama, beliau juga menghadiri kursus keusahawanan anjuran Jabatan Pertanian untuk mendalami kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pemprosesan makanan.
Apabila permintaan pelanggan daripada kalangan keluarga, rakan dan jiran semakin bertambah, pada tahun 2007, Nordin memohon pinjaman daripada Agro Bank bagi membesarkan lagi usahanya.
Pinjaman sebanyak RM8,000 dimohon menerusi MUST Normal ,salah satu skim yang ditawarkan bank terbabit.
Selepas menyelesaikan pinjaman pertama dua tahun kemudian, pada tahun 2009, Nordin sekali lagi memperoleh pinjaman kedua.
Pinjaman berjumlah RM18,000 melalui Micro ESP-i digunakan untuk membina bengkel memproses tempe di tanah kosong berhampiran rumah ibunya.
Kini Nordin yang dibantu oleh dua orang anak lelakinya, berjaya mengeluarkan sehingga 2,200 keping tempe sehari dengan berat sekeping lebih kurang 200 gram (g).
Sehingga kini tempe keluaran Nordin berjaya mendapat tempat di kedai runcit, pasar, sekolah, pasar mini serta jiran-jiran.
Sentiasa memilih yang terbaik untuk produk keluarannya, Nordin membeli kacang soya dan ragi dari pembekal dan memilih untuk membuang segala bahan-bahan sisa daripadanya.
Menyentuh mengenai keistimewaan produk tempe yang dihasilkannya beliau berkongsi sedikit ‘rahsia’ kenapa ia mendapat sambutan:
“Pelanggan sukakan tempe saya yang dikatakan lebih sedap, lembut, putih serta pembungkusan dengan kertas minyak dan daun pisang yang lebih bersih.’’
Bagaimanapun di sebalik ‘rahsia’ kejayaan itu, sebagai usahawan beliau tidak terlepas daripada menghadapi cabaran.
Adakalanya tempe yang dibuat tidak menjadi kerana cuaca terlalu sejuk atau panas.
“Tempe akan terhasil dengan baik dalam suhu bilik,” katanya.
Namun Nordin dan isterinya tidak hanya bergantung kepada satu jenis produk saja tetapi mengeluarkan produk lain seperti nuget tempe dan makanan sejuk beku seperti karipap dan samosa.
Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perusahaan tempe Nordin boleh menghubunginya di 014-3817754 atau 07-4245287.
 sumber..utusan malaysia online


klik diatas

klik diatas

No comments:

Post a Comment