Saturday, May 21, 2011

Rolls-Royce sasar jual 10 kereta buatan tangan di Malaysia



dua model bersama kereta Rolls-Royce yang dipamerkan di bilik pameran baru Roll-Royce Motor Cars di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

PETALING JAYA 20 Mei - Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur optimis untuk menjual lebih 10 buah kereta mewah buatan tangan Rolls-Royce di Malaysia tahun ini. Kereta super mewah itu dijual pada harga minimum RM2 juta sebuah dan diedarkan oleh pengedar sah tunggal di negara ini, Quill Motorcars Sdn. Bhd.
Pengarah Urusan Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong berkata, terdapat ramai orang kaya di negara ini dan pasaran kereta super mewah sememangnya mempunyai potensi besar.
"Kami tidak bersaing dengan kereta-kereta mewah lain sebaliknya dengan jet persendirian, kapal dan bot mewah.
"Pelanggan kami terdiri daripada golongan kenamaan, keluarga diraja serta ahli perniagaan, apa yang pasti tiada seorang pun pelanggan yang terdiri daripada pengurusan kanan" katanya selepas melancarkan bilik pameran terbaharu Rolls-Royce di Petaling Jaya, Selangor.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.
Turut hadir Setiausaha Pertama, Perdagangan dan Pelaburan, Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur, Matthew Smith, Pengarah Rantau Asia Pasifik, Paul Harris dan Pengurus Besar Rolls-Royce Motor Cars, Brenda Pek.
Bilik pameran seluas 224 meter persegi itu mempamerkan tiga kereta Rolls-Royce dengan sebuah lounge yang membolehkan pelanggan memilih sampel warna, kayu dan kulit untuk kereta masing-masing.
Ia turut dilengkapi dengan bengkel berteknologi tinggi untuk perkhidmatan servis kereta Rolls-Royce.
Buat masa ini terdapat 18 bilik pameran Rolls-Royce Motor Cars di rantau Asia Pasifik.
Dalam pada itu, Harris berkata, Rolls-Royce Motor Cars Ltd. merancang untuk terus melabur dalam pasaran Malaysia didorong oleh pertumbuhan pesat ekonomi negara.
" Malaysia mempunyai pasaran kereta super mewah yang sangat ideal yang mana permintaan yang sangat tinggi dan ia amat penting kepada kami, " katanya.
Rolls-Royce merancang untuk membuka bilik-bilik pameran baharu di Taiwan dan China tidak lama lagi.

sumber utusan malaysia online

No comments:

Post a Comment