Wednesday, May 25, 2011

Subsidi bukan lagi cara selesai masalah

Defisit tinggi, hutang lemahkan kewangan negara

SUBSIDI sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup rakyat Malaysia sejak sekian lama tetapi selepas hampir 54 tahun mengecapi kemerdekaan, negara seharusnya lebih matang dan faham akan kesan sampingan subsidi dan bukan melihatnya sebagai alat untuk menyelesaikan masalah.
Selain itu, seiring dengan sasaran negara mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, adalah penting untuk kerajaan memulakan rasionalisasi subsidi dalam usaha menjadi sebuah ekonomi berdaya saing dan rancak.
Kedudukan kewangan kerajaan yang lemah ekoran paras perbelanjaan defisit yang tinggi dan hutang yang meningkat, akan menghakis keyakinan pelabur dan pasaran, sekali gus menjadikannya lebih mahal untuk kerajaan meminjam wang, kata Ketua Ekonomi RAM Holdings Bhd Group, Dr Yeah Kim Leng.

"Hilangnya keyakinan akan menyaksikan meningkatnya kos pinjaman untuk kerajaan. Subsidi yang tinggi turut mencerminkan penggunaan lemah sumber negara," kata beliau dalam temubual di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau seterusnya menjelaskan yang harga yang rendah akan menggalakkan penggunaan yang tinggi dan kurangnya usaha pemulihan dan penambahbaikan kecekapan.

Kim Leng berkata, kerajaan boleh menjimatkan subsidi dan menempatkan semula dana kepada pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan bantuan kebajikan untuk yang miskin.
Justeru itu, ia akan menjadi cabaran kepada kerajaan untuk mengusahakan satu mekanisme yang telus bagi memastikan penjimatan itu dapat menjangkau dan memberi manfaat kepada negara, khususnya mereka yang miskin dan berpendapatan rendah.

Kim Leng berkata, beberapa penjimatan subsidi penting kerana ia akan membantu mengurangkan defisit bajet kerajaan dan seterusnya merendahkan pinjaman, sekali
gus ia tidak akan diterjemahkan secara langsung kepada dana yang ada untuk perbelanjaan pembangunan.

“Jika pinjaman kerajaan dan paras hutang terus meningkat, ia akan mencetuskan kemungkinan kerajaan perlu menaikkan cukai di masa hadapan untuk membayar semula hutang, justeru menjejaskan keyakinan pasaran di dalam ekonomi,” jelas beliau.

Katanya, di Malaysia, subsidi telah digunakan secara meluas untuk melindungi ekonomi daripada kejutan harga, melindungi pengguna dan pengeluar daripada kenaikan harga, menggalakkan pelaburan dan pengeluaran dalam aktiviti terpilih seperti penternakan dan perikanan, dan membolehkan akses kepada kesihatan dan pendidikan.

“Sementara beberapa subsidi disifatkan perlu, adanya yang lain-lain tidak direka dengan baik atau disasarkan untuk memenuhi objektif yang sudah ditakrifkan, menyebabkan salah penempatan sumber.

“Subsidi yang tidak sesuai juga akan menyaksikan pembaziran perbelanjaan, ketirisan dan penggunaan tidak sihat seperti pengambilan gula berlebihan," tambah beliau.

Mengenai kepentingan penstrukturan subsidi, Kim Leng berkata, jika tiada kenaikan dalam pendapatan kerajaan atau pengurangan dalam perbelanjaan dalam bidang-bidang lain, maka, defisit fiskal dan pinjaman kerajaan akan meningkat, dan ini akan melemahkan kedudukan kewangannya.

Antara Oktober tahun lepas dan April tahun ini, harga tenaga dunia telah naik hampir 40 peratus sementara bahan mentah pertanian mencatatkan peningkatan 26 peratus. – BERNAMA

Tuesday, May 24, 2011

Wang kertas, syiling baharu awal tahun depan


Wang polimer RM5 yang dikeluarkan BNM pada 2004 bakal digantikan pada tahun depan.


KUALA LUMPUR 23 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan reka bentuk siri baharu wang kertas dan duit syiling Malaysia pada awal 2012.
Tema reka bentuk mata wang siri baharu itu akan mengandungi ciri khusus bagi Malaysia dan juga ciri keselamatan yang lebih canggih sejajar dengan kemajuan teknologi wang kertas mutakhir ini.
''Pengeluaran wang kertas dan duit syiling ini merupakan satu usaha yang diambil secara berkala dalam tempoh dua belas tahun,'' kata BNM dalam kenyataannya di sini hari ini.
Reka bentuk wang kertas siri keempat yang baharu iaitu adalah denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100.
Reka bentuk terkini wang kertas RM50 yang berada dalam edaran sejak bulan Disember 2007 bagi memperingati Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia akan terus dikekalkan dalam edaran.
Duit syiling yang mempunyai reka bentuk baharu pula adalah siri yang ketiga bagi denominasi lima sen, 10 sen dan 50 sen.
Siri baharu wang kertas dan duit syiling itu bakal berada dalam edaran bersama-sama dengan siri yang sedia ada sehingga siri tersebut dikeluarkan secara beransur-ansur dalam edaran.

Saturday, May 21, 2011

Rolls-Royce sasar jual 10 kereta buatan tangan di Malaysia



dua model bersama kereta Rolls-Royce yang dipamerkan di bilik pameran baru Roll-Royce Motor Cars di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

PETALING JAYA 20 Mei - Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur optimis untuk menjual lebih 10 buah kereta mewah buatan tangan Rolls-Royce di Malaysia tahun ini. Kereta super mewah itu dijual pada harga minimum RM2 juta sebuah dan diedarkan oleh pengedar sah tunggal di negara ini, Quill Motorcars Sdn. Bhd.
Pengarah Urusan Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong berkata, terdapat ramai orang kaya di negara ini dan pasaran kereta super mewah sememangnya mempunyai potensi besar.
"Kami tidak bersaing dengan kereta-kereta mewah lain sebaliknya dengan jet persendirian, kapal dan bot mewah.
"Pelanggan kami terdiri daripada golongan kenamaan, keluarga diraja serta ahli perniagaan, apa yang pasti tiada seorang pun pelanggan yang terdiri daripada pengurusan kanan" katanya selepas melancarkan bilik pameran terbaharu Rolls-Royce di Petaling Jaya, Selangor.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.
Turut hadir Setiausaha Pertama, Perdagangan dan Pelaburan, Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur, Matthew Smith, Pengarah Rantau Asia Pasifik, Paul Harris dan Pengurus Besar Rolls-Royce Motor Cars, Brenda Pek.
Bilik pameran seluas 224 meter persegi itu mempamerkan tiga kereta Rolls-Royce dengan sebuah lounge yang membolehkan pelanggan memilih sampel warna, kayu dan kulit untuk kereta masing-masing.
Ia turut dilengkapi dengan bengkel berteknologi tinggi untuk perkhidmatan servis kereta Rolls-Royce.
Buat masa ini terdapat 18 bilik pameran Rolls-Royce Motor Cars di rantau Asia Pasifik.
Dalam pada itu, Harris berkata, Rolls-Royce Motor Cars Ltd. merancang untuk terus melabur dalam pasaran Malaysia didorong oleh pertumbuhan pesat ekonomi negara.
" Malaysia mempunyai pasaran kereta super mewah yang sangat ideal yang mana permintaan yang sangat tinggi dan ia amat penting kepada kami, " katanya.
Rolls-Royce merancang untuk membuka bilik-bilik pameran baharu di Taiwan dan China tidak lama lagi.

sumber utusan malaysia online