Wednesday, May 25, 2011

Subsidi bukan lagi cara selesai masalah

Defisit tinggi, hutang lemahkan kewangan negara

SUBSIDI sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup rakyat Malaysia sejak sekian lama tetapi selepas hampir 54 tahun mengecapi kemerdekaan, negara seharusnya lebih matang dan faham akan kesan sampingan subsidi dan bukan melihatnya sebagai alat untuk menyelesaikan masalah.
Selain itu, seiring dengan sasaran negara mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, adalah penting untuk kerajaan memulakan rasionalisasi subsidi dalam usaha menjadi sebuah ekonomi berdaya saing dan rancak.
Kedudukan kewangan kerajaan yang lemah ekoran paras perbelanjaan defisit yang tinggi dan hutang yang meningkat, akan menghakis keyakinan pelabur dan pasaran, sekali gus menjadikannya lebih mahal untuk kerajaan meminjam wang, kata Ketua Ekonomi RAM Holdings Bhd Group, Dr Yeah Kim Leng.

"Hilangnya keyakinan akan menyaksikan meningkatnya kos pinjaman untuk kerajaan. Subsidi yang tinggi turut mencerminkan penggunaan lemah sumber negara," kata beliau dalam temubual di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau seterusnya menjelaskan yang harga yang rendah akan menggalakkan penggunaan yang tinggi dan kurangnya usaha pemulihan dan penambahbaikan kecekapan.

Kim Leng berkata, kerajaan boleh menjimatkan subsidi dan menempatkan semula dana kepada pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan bantuan kebajikan untuk yang miskin.
Justeru itu, ia akan menjadi cabaran kepada kerajaan untuk mengusahakan satu mekanisme yang telus bagi memastikan penjimatan itu dapat menjangkau dan memberi manfaat kepada negara, khususnya mereka yang miskin dan berpendapatan rendah.

Kim Leng berkata, beberapa penjimatan subsidi penting kerana ia akan membantu mengurangkan defisit bajet kerajaan dan seterusnya merendahkan pinjaman, sekali
gus ia tidak akan diterjemahkan secara langsung kepada dana yang ada untuk perbelanjaan pembangunan.

“Jika pinjaman kerajaan dan paras hutang terus meningkat, ia akan mencetuskan kemungkinan kerajaan perlu menaikkan cukai di masa hadapan untuk membayar semula hutang, justeru menjejaskan keyakinan pasaran di dalam ekonomi,” jelas beliau.

Katanya, di Malaysia, subsidi telah digunakan secara meluas untuk melindungi ekonomi daripada kejutan harga, melindungi pengguna dan pengeluar daripada kenaikan harga, menggalakkan pelaburan dan pengeluaran dalam aktiviti terpilih seperti penternakan dan perikanan, dan membolehkan akses kepada kesihatan dan pendidikan.

“Sementara beberapa subsidi disifatkan perlu, adanya yang lain-lain tidak direka dengan baik atau disasarkan untuk memenuhi objektif yang sudah ditakrifkan, menyebabkan salah penempatan sumber.

“Subsidi yang tidak sesuai juga akan menyaksikan pembaziran perbelanjaan, ketirisan dan penggunaan tidak sihat seperti pengambilan gula berlebihan," tambah beliau.

Mengenai kepentingan penstrukturan subsidi, Kim Leng berkata, jika tiada kenaikan dalam pendapatan kerajaan atau pengurangan dalam perbelanjaan dalam bidang-bidang lain, maka, defisit fiskal dan pinjaman kerajaan akan meningkat, dan ini akan melemahkan kedudukan kewangannya.

Antara Oktober tahun lepas dan April tahun ini, harga tenaga dunia telah naik hampir 40 peratus sementara bahan mentah pertanian mencatatkan peningkatan 26 peratus. – BERNAMA

1 comment:

  1. salam...
    kalau kerajaan mahu mengurangkan subsidi, maka kerajaan perlu menaikkan taraf gaji bagi pekerja sektor awam dan menambah pendapatan sektor swasta agar rakyat tidak terbeban dengan kadar harga barangan yang meningkat sebab subsidi dikurangkan..rakyat memang faham keadaan kerajaan yang semakin jatuh miskin kerana ` membantu rakyat` (kononnya padahal duit semakin habis kerana banyak terhambur waktu pilihan raya kecil sejak 2008 lagi)rakyat tak ada masalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan ekonomi sejajar dengan negara maju tapi kerajaan perlu membuat kajian terhadap tahap pendapatan rakyat pertengahan dan rendah (subbandar dan kampung)adakah kerajaan mahu raktay kita menjadi seperti jepun yang terkenal dengan kemajuan tetapi rakyat tinggal merempat di kota kerana kos hidup yang mahal walaupun pendapatan tinggi...
    mungkin saudara tinggal di bandar dan jarang turun membuat kajian terhadap rakyat pertengahan dan rendah. lagi pun alasan mengurangkan subsidi kerana kesihatan (untuk gula) adalah tidak munasabah kerana akan membebankan peniaga keseluruhannya dan pengguna, contoh seorang peniaga membeli gula rm 2.80 sekilo (harga semasa rm2.10 sekilo) untuk peniagaan air. beliau akan menaikkan harga segelas minuman sebanyak 20 sen atau 50 sen (teh ais rm 1.20 akan jadi rm 1.50 @ 1.80 segelas) kalau kuih kita beli waktu bazar ramadhan nanti 2ketul/rm 1.00 (harga semasa 3ketul/rm1..camana saudara rasa? ni kenapa tetiba mahal lak ni??? bukan takat kuih atau air je yang naik harga..semua makanan kat kedai akan naik harga tak kita basah atau sedia guna..ini akan membebankan rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah.

    p/s: sebenarnya duit kerajaan habis kerana pilihanraya kecil yang kerap berlaku..purata perbelanjaan untuk 1 pilihanraya yang berlaku adalah rm 1,000,000.00...cuba kira berapa dah pilihanraya yang berlaku??? betul kata pemerhati politik "ekonomi akan stabil bila politik stabil"

    ReplyDelete